Pada Rabu lepas saya membuat liputan program Kelab Mthusiast BMW Club meraikan keinginan adik Muhammad Rayyan Azhar yang ingin menaiki kereta jenis BMW yang mewah tu.
Adik Rayyan berumur 5 tahun dan sejak September lepas dia dikatakan menghidap kanser otot dan terpaksa menjalani rawatan kimoterapi.
Menurut ibunya, Hasni Hasan, penyakit itu menyebabkan ototnya membesar sehingga menghimpit pundi kencingnya sehingga Rayyan sukar nak berjalan.
Si kecil itu bagaimanapun, mengimpikan untuk dapat naik dan bersiar-siar di dalam sebuah kereta BMW dan lebih 120 buah kereta hadir di Shah Alam memenuhi impiannya.
Kesemua kereta pada mulanya berkumpul di Stesen Petronas di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang sebelum empat buah kereta BMW termasuk milik Presiden Mthusiast Mohd Niezam Ismail bergerak ke rumah Rayyan di Padang Jawa untuk menjemputnya menaiki BMW.
Di rumahnya, kumpulan kereta BMW mengejutkan penduduk setempat kerana ngauman enjin yang kuat serta rupa kereta berkenaan yang mewah memasuki kawasan perumahan berkenaan yang agak sempit.
Rombongan kereta BMW disambut oleh Rayyan dan bapanya Azhar Ahmad dan keluarganya.
Adik Rayyan didukung bapanya diberi peluang memilih kereta untuk dinaiki. Artis Tauke, Raja Lawak turut hadir bersama pada malam itu. – Foto IBNUKHUSAIRY.COM
Artis pelawak Tauke dari kumpulan Virus dalam Maharaja Lawak Mega 2014 turut memeriahkan suasana pada malam itu tambahan pula dia turut memiliki sebuah kereta BMW.
Rayyan diberi peluang memilih sendiri kereta BMW kesukannya dan dia memilih sebuah kereta BMW berwarna putih yang dinaikinya bersama ayah, ibu dan adik beradiknya malam itu.
Adik Rayyan kemudian dibawa bersiar sekitar kawasan Shah Alam sebelum kemudiannya disertai lebih 120 buah kereta jenama BMW yang pada mulanya berkumpul di Petronas tadi. Mereka kemudiannya membawa adik Rayyan ke KFC di Extreme Park, Shah Alam untuk meraikan malam itu.
Di KFC, kelab Mthusiast turut meraikan hari lahir Rayyan yang sepatutnya jatuh pada esok hari tetapi diraikan lebih awal. Dia dihadiahkan sebuah kereta permainan kawalan jauh BMW oleh kelab.
Menurut Mohd Niezam, pada awalnya pihak kelab mensasarkan hanya sekitar 70 buah kereta yang memberikan sokongan pada program itu tetapi nyata lebih ramai mahu meraikan adik Rayyan dan lebih 120 buah kereta keluar pada malam itu.
Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana dapat bersama-sama kelab BMW untuk meraikan dan memenuhi impian adik Rayyan yang begitu gembira dan berseronok pada malam itu. – IBNUKHUSAIRY.COM
Komen di Facebook:
References
- ^ 7:15 PM (www.ibnukhusairy.com)
- ^ View all posts by Ibnu K (www.ibnukhusairy.com)
- ^ CERITA IBNU K (www.ibnukhusairy.com)


